Kuala Lumpur | Disember 2025 — Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), bersama rakan strategik teknikal Loonaq Records (yang membangunkan platform digital AIMXCHANGE.COM) dan Komuniti media sosial bagi komposer, pengkarya serta penyanyi muzik berasaskan AI, Awangliku Channel, telah berjaya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk sama-sama membangunkan AIMXCHANGE.COM - komuniti untuk komposer muzik AI dan peminat muzik AI untuk pengkarya negara Malaysia dan global.
IRAMA di wakili Timbalan Presiden Tuan Othman Mahmood, Komuniti Awangliku diwakili oleh pengasasnya En Hamdan Ani, dan Loonaq Record diwakili oleh Pengurus Kreatif Nur Fitrah, sementara Setiausaha IRAMA Haji Rozman Abas pula menyaksikan MoU tersebut yang diadakan di pentas utama program BudayaVerse yang telah diadakan pada 27 Disember 2025 baru-baru ini di Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Sepanjang penganjuran acara, booth AIMXCHANGE telah menerima kunjungan ramai pengunjung terdiri daripada pencipta kandungan, komposer muzik AI, penyanyi dan peminat industri kreatif yang hadir untuk mendapatkan penerangan lanjut serta memuat naik (upload) karya lagu AI mereka secara langsung. Sambutan ini mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap penciptaan dan kolaborasi muzik berasaskan teknologi AI dalam kalangan komuniti tempatan.
Penyertaan bersama ini menandakan komitmen berterusan organisasi dan komuniti kreatif untuk membangunkan ekosistem muzik digital yang lebih inklusif dan mampan.
Komuniti Awangliku Channel kini mempunyai pengikut dan penggiat kreatif dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak, dengan penglibatan rakan strategik seperti Halim Bataq Arts (Sabah) dan channel TikTok Pakmaun (Sarawak). Komuniti ini turut menjalin kolaborasi bersama rakan kreatif dari Indonesia di bawah payung Studio Media Maju Malaysia, sekali gus memperkukuh jaringan kreatif serantau.
Dalam sesi perkongsian (talk) di BudayaVerse 2025, Haji Rozman Abas, yang juga pengasas AIMXCHANGE, menekankan perubahan landskap industri muzik global yang semakin dipacu oleh teknologi AI. Beliau turut menggariskan keperluan mewujudkan platform komuniti yang berstruktur bagi melindungi kepentingan pencipta, memperkukuh dokumentasi karya, serta memberi pengiktirafan sewajarnya kepada komposer dan pengkarya muzik AI tempatan.
Menurut beliau, AIMXCHANGE berperanan sebagai platform yang menghimpunkan pencipta muzik AI, menyediakan ruang kolaborasi antara bakat manusia dan teknologi, serta menjadi jambatan antara komuniti, label bebas dan industri muzik arus perdana.
Kerjasama antara IRAMA, Loonaq Records dan komuniti Awangliku Channel ini mencerminkan aspirasi bersama untuk membina ekosistem muzik digital Malaysia yang progresif, berteraskan komuniti dan berdaya saing di peringkat serantau serta antarabangsa.
