Pengenalan
Dunia industri muzik global sedang menyaksikan satu fasa transisi yang drastik. Di saat ramai penggiat seni konvensional melihat Kecerdasan Buatan (AI) sebagai ancaman kepada periuk nasi mereka, ada sekumpulan usahawan bijak yang melihatnya sebagai lubuk emas baharu.
Salah seorang figura yang sedang mendahului revolusi ini ialah Romel Murphy, pengasas ‘dai+drm’ (disebut - daydream). Beliau bukan sekadar pencipta lagu AI, tetapi seorang arkitek perniagaan yang sedang membina barisan artis AI profesional pertama di dunia.
Bermula Daripada Realiti, Bukan Sekadar 'Prompt'
Skeptisisme terbesar terhadap muzik AI adalah dakwaan bahawa karya digital ini tiada "jiwa".
Namun Murphy membuktikan sebaliknya melalui projek sulungnya bersama pencipta kandungan, Nikki Jones, yang melahirkan karakter R&B AI bernama Xania Monet.
Xania mencatat sejarah sebagai artis AI pertama yang:
- Membawa muzik AI masuk ke dalam ekosistem Apple Music Top 10.
- Menandatangani kontrak bernilai jutaan dolar bersama Hallwood Media.
- Menembusi carta Billboard (Adult R&B Airplay & Hot Gospel Songs).
Apakah rahsia kejayaan ini?
Lagu-lagu Xania tidak dihasilkan melalui arahan (prompt) kosong secara rawak. Ia dibina berasaskan emosi sebenar, pengalaman hidup, dan trauma realiti yang dilalui oleh pencipta manusianya, Nikki. AI hanyalah "alat" atau instrumen moden untuk menyalurkan penceritaan tersebut kepada audiens.
Langkah paling strategik yang dilakukan oleh Murphy menerusi firma dai+drm bukan sekadar memasarkan lagu, tetapi melindungi hak ekosistem pencipta.
“Majoriti pencipta muzik AI datang daripada komuniti kreatif yang tidak mempunyai latar belakang perniagaan muzik yang kukuh," kata Murphy.
Apabila sesebuah industri baharu mula menjana aliran tunai yang besar, risiko eksploitasi oleh syarikat gergasi (label tradisional) terhadap pencipta bebas akan meningkat. Di sinilah dai+drm berfungsi sebagai firma pengurusan, rundingan, dan pemasaran bebas yang memastikan para pencipta tahu nilai hak cipta (copyright) dan royalti mereka.
Pada awal tahun 2026, dai+drm mengukuhkan kedudukannya melalui usaha sama (joint venture) bernilai jutaan dolar bersama ‘Create Music Group’. Langkah ini memberi mereka infrastruktur edaran dan pengurusan hak digital berskala global tanpa perlu tunduk kepada terma berat sebelah daripada label-label gergasi tradisional.
Menghadapi Kontroversi Industri
Kejayaan Xania Monet menandatangani kontrak jutaan dollar sudah tentulah menerima tamparan hebat (backlash) daripada artis-artis arus perdana global. Mereka mempersoalkan mengapa dana industri disalurkan kepada entiti "sintetik" ketika pemuzik manusia sedang bergelut untuk hidup.
Bagi Murphy, polemik ini adalah lumrah setiap kali berlakunya anjakan paradigma teknologi. Isu eksploitasi dana atau ketidakadilan sistemik dalam industri muzik bukanlah masalah baharu yang dibawa oleh AI—ia adalah masalah lapuk industri yang sudah wujud berdekad lamanya.
Masa Depan Muzik: Hibrid Antara Manusia dan Mesin
Melalui senarai artis di bawah naungan dai+drm seperti Solomon Ray (artis gospel AI pertama menjuarai carta iTunes) dan Shavelle G, Murphy menegaskan satu prinsip penting iaitu AI hanya berfungsi jika ada manusia yang memandu jalan ceritanya.
Sebab itu juga, portfolio dai+drm tidak mengehadkan diri kepada artis AI semata-mata, malah turut menguruskan artis tradisional konvensional. Masa depan industri muzik bukanlah tentang "AI menggantikan manusia", tetapi landskap hybrid yang menggabungkan kedua-duanya sekali.
Dari sudut perniagaan dan pelaburan, dai+drm sedang membuktikan bahawa teknologi AI generatif bukan sekadar trend media sosial yang akan mati, tetapi sebuah pasaran baru yang memerlukan struktur korporat, perlindungan undang-undang, dan model perniagaan yang mampan.
Ini adalah satu bentuk diskriminasi teknologi. Adakah adil untuk label terus mengaut keuntungan manakala pencipta asal dipinggirkan hanya kerana menggunakan alat moden?
Sorotan AIMXchange: Cabaran Regulasi Muzik AI di Malaysia dan Dinamik Pasaran Tradisional
Apabila kita melihat kejayaan model perniagaan dai+drm di peringkat global, satu persoalan penting timbul: Bagaimanakah pula dengan kesediaan ekosistem industri muzik di Malaysia?
Berbeza dengan pasaran luar yang mula mencari titik pertemuan untuk pengkomersialan, landskap domestik ketika ini dilihat sedang melalui fasa transisi yang agak rumit, dipengaruhi oleh pendekatan kawal selia yang defensif dan dinamika kepentingan pasaran tradisional.
1. Pendekatan Proteksionisme oleh Badan Pengurusan Kolektif (CMO)
Di Malaysia, organisasi pengurusan kolektif (CMO) seperti MACP mengambil pendirian yang sangat berhati-hati dalam mendepani gelombang ini.
Menerusi ketetapan dasar terbaru, karya yang dihasilkan dengan penglibatan teknologi AI generatif secara amnya tidak melayakkan penciptanya untuk menerima agihan royalti konvensional. Dari sudut pandang industri, tindakan CMO ini sering dilihat sebagai usaha untuk melindungi ekosistem sedia ada dan hak keahlian pemuzik manusia.
Walau bagaimanapun, impak sampingan daripada dasar sekatan ini ialah timbulnya jurang pemisah (vacuum) bagi komuniti kreatif baru.
Naratif yang meletakkan muzik AI semata-mata sebagai "ancaman kepada keaslian seni" tanpa melihat potensi hybridnya berisiko menyekat pertumbuhan kreator ekonomi tempatan terutama ahli MACP sendiri dan CMO lain yang mahu memanfaatkan teknologi secara sah.
2. Mempertahankan 'Status Quo': Peranan Label Tradisional
Di sebalik ketetapan tegas yang diambil oleh badan-badan industri, terdapat realiti struktur pasaran yang tidak boleh diabaikan. Sektor korporat muzik, terutamanya syarikat rakaman besar (label) tempatan dan antarabangsa yang mempunyai pengaruh kuat dalam rantaian nilai industri, mempunyai kepentingan besar untuk mengekalkan model perniagaan sedia ada.
Model perniagaan tradisional bergantung sepenuhnya kepada pemilikan dan kawalan hak cipta eksklusif artis manusia yang diikat melalui pelaburan modal yang tinggi.
Kehadiran perisian AI generatif yang mampu memotong kos produksi secara drastik secara tidak langsung mengancam struktur monopoli pasaran tersebut.
Oleh itu, tindakan menggunakan pengaruh korporat bagi mengemudi dasar industri ke arah mengekang AI dilihat sebagai satu strategi ekonomi yang logik bagi pemain industri lama demi melindungi pulangan pelaburan (ROI) mereka daripada gangguan teknologi (technological disruption).
3. Cabaran Tafsiran Akta Hakcipta 1987 oleh MyIPO
Di peringkat kawal selia undang-undang, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) berdepan dengan cabaran besar untuk mengimbangi antara perlindungan hak cipta tradisional dan keperluan inovasi masa hadapan. Kerangka perundangan di bawah Akta Hakcipta 1987 masih bersandarkan kepada prinsip ketat bahawa sesuatu karya itu mestilah dihasilkan menerusi "usaha intelek manusia sepenuhnya."
Tafsiran yang agak konservatif ini menimbulkan ruang kelabu (grey area) yang belum diselesaikan, iaitu di manakah sempadan hak cipta jika lirik, emosi, konsep, dan penataan arah kreatif itu datangnya daripada pengarah seni manusia, manakala AI sekadar bertindak sebagai alat pemprosesan teknikal?
Kegagalan untuk merangka panduan atau evolusi perundangan yang lebih fleksibel dan progresif menyebabkan undang-undang harta intelek negara berisiko menjadi instrumen proteksionisme untuk pasaran lama, dan bukannya pemacu kepada kemajuan ekonomi digital.
Apakah MyIPO akan tunduk kepada tekanan permintaan daripada CMO sedangkan di peringkat dunia masih belum jelas keputusan tentang tuntutan pelanggaran hakcipta (copyright infringement) kerana melatih mesin dari data yang berhakcipta?
Kini sudah terdapat beberapa AI music generators yang mula melatih mesin mereka menggunakan sumber data baru atau dilesen secara sah. Adakah selepas Akta Hakcipta itu dikuatkuasakan secara tergesa-gesa sekarang, adakah ianya masih relevan dengan kehadiran AI Music generator yang menggunakan data yang sah tersebut?
Kesimpulan Analisis AIMXchange
Pendirian AIMXchange dalam isu ini adalah berasaskan realiti ekonomi digital: Teknologi tidak boleh disekat secara mutlak. Apabila teknologi mengubah cara sesuatu produk dihasilkan, peluang sebenar bukan terletak pada teknologi tersebut, sebaliknya pada bagaimana sesebuah entiti menstrukturkan perniagaan dan melindungi nilai komersial di sekelilingnya.
Sekiranya ekosistem domestik, sama ada melalui CMO, pengaruh label besar, mahupun ketetapan MyIPO terus mengambil pendekatan menutup pintu tanpa menawarkan solusi jangka panjang, Malaysia akan mengalami kerugian modal insan kreatif.
Komposer dan pencipta AI tempatan yang berbakat besar akan memilih untuk mendaftarkan IP mereka di luar negara yang mempunyai sistem pengiktirafan dan royalti yang lebih progresif.
Akhirnya, kita bukan sahaja kehilangan hak pengedaran dan data berharga, malah pasaran tempatan akan kekal sebagai pengguna teknologi asing, berbanding menjadi pencipta nilai dalam revolusi industri hiburan global masa kini.
Kapsyen foto: Sinergi Industri: Barisan ahli jawatankuasa dan panel jemputan sewaktu Forum AI Muzik Malaysia anjuran AIMXchange baru-baru ini. Forum ini mengumpulkan komuniti komposer AI tempatan bersama Persatuan Pencipta, Penulis dan Penerbit Muzik Malaysia (3PM), IRAMA, dan Loonaq Records. Turut kelihatan, komposer dan penyanyi legenda, Aris Ariwatan (duduk, tengah), yang hadir memberikan input berharga mengenai seni penulisan dan penciptaan lagu."
Oleh: Haji Rozman Abas
Penulis adalah pengasas AIMXCHANGE.COM, penasihat label Loonaq Records dan Setiausaha Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) dan Gabungan Persatuan Muzik Malaysia (Music Malaysia)
Nota: Artikel ini disusun berdasarkan dokumen rasmi PPM (Circular 2026-1), kenyataan media MACP (3 Mac 2026), dan penyelarasan polisi antarabangsa ASCAP/BMI/SOCAN (28 Okt 2025).
#FutureOfMusic #MusicIndustry #AIMusic #CreativeEconomy #MusicCreators #AIMXCHANGE #BudayaVerse2025 #myIPO
